Monday, August 30, 2010

Nikmat Sepasang Jubah dan Beberapa Biji Kurma

Mengikut cara hidup Nabi Muhammad s.a.w merupakan satu sunnah yang mulia. Saya mengetahuinya dan saya percaya anda juga mengetahuinya. Tetapi berapa ramai di antara kita mengikutinya? Saya?.. Belum lagi rasanya. Anda pula bagaimana?

Cuba kita selidiki kehidupan kita seketika, bandingkan diri kita dengan Rasulullah s.a.w dan sahabat baginda.

Pakaian

Berapa helai pakaian yang Rasulullah s.a.w dan para sahabat ada?
Seingat saya, Rasulullah s.a.w memiliki dua pasang jubah.
Sehelai digunakan untuk pakaiannya sehari-hari dan sehelai lagi untuk Solat Jumaat.
Saidina Umar al-Khattab r.a pernah terlewat bersolat jemaah kerana menunggu jubahnya yang sehelai itu kering.
Saidatina Fatimah r.a pula pakaian pengantinnya diriwayatkan oleh Saidina Umar al-Khattab r.a memiliki 12 tampalan termasuk dua daripadanya adalah tampalan daripada kulit (dalam buku lain yang saya baca, diriwayatkan bahawa baju bertampal yang dimaksudkan tadi dimiliki oleh Saidina Umar al-Khattab).

Demikianlah keadaan pakaian Rasulullah s.a.w dan generasi awal Islam. Meneliti keadaan pakaian mereka, sekiranya dinisbahkan dengan keadaan hari ini sudah tentu mereka merupakan golongan yang hina. Tetapi jika diteliti dengan mendalam, merekalah sebaik-baik generasi Islam, bukan kita yang pakaiannya tidak cukup diletakkan dalam satu almari pakaian.

Tadi pakaian, bagaimana pula dengan makanan?

Makanan

Kalau ada di antara kita maknannya sedikit, rasa pelik dalam kalangan kita adalah perkara biasa. “Sikitnya makan, tambahlah lagi”
Ucapan sebegini terlalu biasa berlaku di zaman ini. Pelbagai juadah makanan dihidangkan di hadapan mata kita. Sehinggakan kita tidak tahu mahu makan yang mana.

Melalui sirah-sirah yang sedia, Rasulullah s.a.w hanya akan dapat makan makanan yang lazat apabila ada seseorang menghadiahkan kepada baginda makanan tersebut.Tetapi makanan lazim bagi Rasulullah s.a.w adalah beberapa biji kurma. Begitu juga dengan sahabat baginda. Bahkan pernah diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.a bahawa dapur rumahnya telah beberapa bulan tidak berasap.

Walaupun zaman tersebut, mereka makan tidak sebanyak kita makan tetapi tidak ada sirah yang menyatakan bahawa terdapat dalam kalangan mereka mati kebuluran atau mati disebabkan makanan kecuali daging yang diletakkan racun oleh seorang perempuan Yahudi untuk menguji kerasulan Rasulullah s.a.w telah menyebabkan salah seorang sahabat yang turut sama makan pada ketika itu meninggal. Tetapi kisah ini di luar topik perbincangan kita. Jadi kita ketepikan kisah tersebut.

Melalui pakaian dan makanan di zaman Rasulullah s.a.w dan zaman ini, mengapa terlalu jauh sekali bezanya? Apapun Rasulullah s.a.w pernah bersabda melalui hadith riwayat at-Tarmizi yang bermaksud;

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., "Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah saw. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah saw.melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan diMekkah). Kemudian Nabi Muhammad saw. bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Ka'bah?". Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan menberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki". Lalu Nabi saw. bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu".

Nikmat sepasang jubah dan beberapa biji kurma jauh sekali dengan nikmat beralmari pakaian dan berpingan-pingan makanan yang kita ada kerana sepasang jubah mereka dan beberapa biji kurma mereka ada rahmat dan berkah mengiringinya berbanding perkara yang kita ada.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...