Saturday, January 30, 2010

Doa Tidak Terlafaz


Maksud 'solat' dari sudut bahasa ialah 'doa'. Melalui maksud tersebut sekurang-kurangnya kita (setiap umat Islam) akan berdoa lima kali sehari semalam. Selepas solat pula, kita akan menadah tangan untuk berdoa, jika tidak kita boleh dikategorikan dalam golongan orang yang sombong kepada Allah s.w.t.

"Dan berkata Rabbmu. berdoalah kepadaKu. Nescaya akan Aku perkenankan" maksud Surah al-Mukmin, ayat 60. Janji Allah s.w.t kepada kita. Tetapi setiap kali kita menadah tangan, kita membaca doa bukan berdoa. Melafazkannya di mulut tetapi tidak diikuti dengan hati. Umpama burung kakak tua, yang pandai bercakap... pandai melafazkan kata-kata tetapi tidak mamahami perkara yang dikatakannya.

Tetapi berlaku juga, di saat terlalu ingin berdoa.. terlalu ingin mengadu padaNya, tiada perkataan yang mampu dilafazkan. Hanya tangan mampu diangkat mengadu simpati... harap Engkau memahami lemahnya diri ini...

* * * * * *

video
Ya Allah...
Jadikanlah agamaku...
agama Nabi Muhammad s.a.w.

Islamku...
Islam orang Muslimin.

Imanku...
Iman orang Mukminin.

Solatku...
Solat yang khusyuk.

Amalku...
Amalan yang soleh.

Niatku...
Niat yang ikhlas.

Dosaku Ya Allah...
Dosa yang terampun.

Kehidupanku...
Kehidupan para ulama.

Dan matiku...
Matinya para syuhada.

Dan masukkanlah daku ke dalam syurga...
bersama para anbiya dengan rahmatMu...
Wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

Wednesday, January 27, 2010

Bijak Wang


Entry kali ini ada kaitannya dengan entry yang lepas bertajuk 'Pengurusan Kewangan Peribadi'. Saya memperoleh banyak pertanyaan secara peribadi melalui entry tersebut. Jujurnya saya bukanlah individu yang layak untuk ditanyakan berkenaan pengurusan kewangan.

Namun begitu, untuk tidak menghampakan setiap yang bertanya, saya linkkan slide dari rancangan 'Bijak Wang' untuk manfaat anda semua. Slide ini adalah berkenaan dengan pengurusan kewangan peribadi seperti yang saya terangkan sebelum ini. Begitu juga dengan slide ini. Bagi saya walaupun ia sekadar slide, tetapi ia mudah untuk difahami.

Melalui link tersebut, terdapat banyak lagi slide yang boleh memberi manfaat untuk semua. Contohnya slide berkenaan pembelian kereta, rumah idaman, takaful, zakat, perbelanjaan persekolahan dan perlaburan. Slide tersebut boleh di download.

Harapan sedikit sebanyak ia dapat membantu pengurusan kewangan anda semua. Maklumat tentang pengurusan kewangan banyak terdapat di dalam internet. Cuma anda perlu rajin membaca dan amalkannya. Jika tidak, ilmu tersebut tidak berguna. Pepatah Arab ada mengatakan 'ilmu tanpa amal, ibarat pohon yang tidak berbuah'. Siiru a'la barakatillah.

Tuesday, January 26, 2010

Cinta Balkis : Perkahwinan Tidak Sah


Just nak kongsi sedikit berkenaan dengan drama 'Cinta Balkis'. Menurut Ustz Zul, salah seorang student PhD ISDEV, endingnya tidak masuk akal kerana bertentangan dengan syariat.

Perkara yang bertentangan dengan syariat adalah apabila hero dalam drama tersebut meneruskan perkahwinan dengan isteri keduanya. Perkahwinan tersebut tidak sah mengikut syarak kerana mereka adalah adik beradik tiri.

Ia dikatakan sah apabila si ayah dan ibu tirinya berkahwin selepas si hero tersebut berkahwin dengan isteri keduanya. Tetapi di dalam drama tersebut ayahnya berkahwin lain dahulu sebelum mereka berkahwin. Dari sudut syarak ia tidak sah.

Sorry, saya tidak tahu nama-nama mereka. Nama dalam drama pun saya tidak ingat. Bagi saya yang penting saya dah sampaikan perkara yang saya tahu. Wallahu'alam...

Monday, January 25, 2010

Melangkah di Bumi Hijau

Sekali sekala bila dapat keluar dari kebisingan kota dan kesibukan tugas harian sudah tentu menyeronokkan. Melihat kehijauan alam ciptaan Allah s.w.t. Entry kali ini saja saya ingin berkongsi gambar-gambar yang saya ambil sewaktu ke Kawasan Perkhelahan Kampung Ulu Chepor, Perak bersama hubby.Tetapi gambar saya ambil tidaklah secantik gambar yang diambil menggunakan kamera digital kerana gambar-gambar ini hanya diambil menggunakan kamera handset 2MP. Jadi gambarnya tidak jelas dan kabur. Tidak gambar dalam laman web photographer ini. Apapun saya teringat pesan beliau (Noorizam Sabran salah seorang penulis buku mengenai fotografi), katanya mahal atau murah kamera yang kita miliki bukan penentu untuk menentukan gambar yang kita ambil adalah yang terbaik. Sebaliknya kreativiti dan minat kita terhadap bidang fotografi akan menghasilkan gambar-gambar yang cantik daripada kamera yang kita miliki.
Pohon-pohon buluh yang banyak tumbuh di sini antara tumbuhan yang turut menghijaukan suasana di sekeliling air terjun.
Ramai yang mengambil kesempatan menikmati keindahan alam di sini. Sama ada tua, muda, dewasa mahupun kanak-kanak.
Maksiat pun ada juga di sini.
Ada sesumpah di batang pokok. Nampak tak?
Cahaya matahari yang menembusi celahan rimbunan dedaun buluh.
Toang sampah banyak disediakan di sini. Tetapi malangnya ada juga yang membuang sampah merata-rata.
Gambar terakhir ini saya tinggalkan buat semua. Kami telah cuba menjatuhkan batu tersebut dengan membalingnya dengan batu. Tetapi tidak berjaya. Lalu kami tinggalkannya begitu sahaja. Nanti kalau ada sesiapa yang datang sini, tolong jatuhkan baki batu-batu tu ye. Jangan lupa tau... ingat ye.. jatuhkan batu tu...

Tuesday, January 19, 2010

Melanjutkan Pembelajaran di ISDEV


Assalamu'alaikum w.b.t

Doa saya semoga semua sihat sentiasa. Semoga rahmat Allah sentiasa mengiringi perjalanan hidup kita.Entry pada kali ini khas saya tujukan buat Junior SK (kalau dipanggil dengan nama kan lagi baik) dan sesiapa yang mahu menyambung pembelajarannya di ISDEV.

Namun begitu, harus diingat bahawa ISDEV bukanlah satu pusat pengajian tetapi ia adalah satu pusat kajian yang terletak di bawah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan. Alhamdulillah, pengajian saya di peringkat master telah pun tamat. Terlalu cepat masa berlalu. Tidak sedar pun yang ia telah sampai ke penghujungnya.

Mengenai Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam), ia merupakan kursus yang ditawarkan dalam mod campuran (mixed mode). Walaupun ia mod campur tetapi harus diingat bahawa kursus yang ditawarkan ini lebih berat ke arah penyelidikan memandangkan ia bernilai 70% untuk disertasi (tesis pendek) dan 30% kuliah.

Terdapat empat kursus major yang ditawarkan. Empat kursus major tersebut ialah Pembangunan Berteraskan Islam, Pengurusan Institusi Pembangunan Islam, Pengurusan Pembangunan Aset Islam dan Ekonomi Politik Islam. Setiap kursus tersebut terdapat dua mata pelajaran teras sepunya yang wajib diambil oleh semua pelajar dan dua mata pelajaran untuk setiap kursus major yang ditawarkan. Ini bermakna setiap pelajar yang berdaftar perlu mengikuti empat mata pelajaran dan menyiapkan disertasi dalam tempoh pengajian tersebut. Tempoh pengajian adalah selama tiga semester.

Sesi pembelajaran dijalankan menggunakan Bahasa Melayu. Namun begitu, Bahasa Inggeris turut digunakan sekiranya kelas atau kuliah tersebut dihadiri oleh pelajar atau individu yang tidak memahami Bahasa Melayu. Keadaan ini berlaku biasanya apabila terdapat program yang dihadiri oleh post-doctoral fellow, pelajar PhD atau sarjana dari luar negara. Program yang dimaksudkan di sini adalah seperti program pengajian agama yang diadakan setiap hari Selasa dan supervision bulanan ISDEV. Wacana ilmu merupakan satu program yang menjadi kemestian di ISDEV bagi meransang pelajar-palajarnya memikirkan sesuatu yang bersifat 'out of the box' tetapi masih di dalam kerangka yang dibenarkan oleh syariat. Tetapi jangan bimbang. Kebanyakannya dalam Bahasa Melayu.

Program sebegini merupakan program yang wajib diikuti oleh setiap pelajar ISDEV. Ia bertujuan untuk memudahkan penyelidikan setiap pelajar berjalan dengan lebih lancar. Secara tidak langsung program sebegini telah merapatkan hubungan silaturrahim setiap warga ISDEV. Hubungan yang terjalan dapat saya katakan telah melampaui sempadan antara seorang pensyarah dengan pelajar. Sebaliknya pensyarah di ISDEV boleh berperanan sebagai seorang bapa, ibu, kakak, abang, rakan, dan teman untuk bergurau mahupun untuk meluahkan segala kekusutan.

Di ISDEV, saya tidak dididik untuk hanya mempertajamkan akal fikiran saya. Sebaliknya lebih kepada menajamkan mata hati saya. Supaya saya lebih mengerti perkara yang bersifat makrifat berbanding yang tersurat. Berkenaan dengan makrifat dan tersurat ini, boleh baca dalam entry saya yang lepas yang bertajuk Antara Yang Tersurat dan Makrifat ataupun lebih dikenali dengan pembelajaran dari hati ke hati oleh Prof Muhammad Syukri Salleh yang merupakan salah seorang pensyarah ISDEV.

Untuk pengetahuan semua. Di sini saya diajar untuk menulis... menulis untuk menyusuli langkah ulama terdahulu yang juga mengarang banyak kitab. Saya tidak sekadar diajar untuk menulis disertasi, kertas-kertas kerja atau bahan akademik yang lain tetapi juga diajar dan dididik untuk menghasilkan bahan dakwah yang lain bermula dari menghasilkan blog, menulis artikel-artikel di majalah, akhbar dan lain-lain bahan bacaan. (Namun sehingga sekarang saya masih belum menghasilkan sebarang artikel untuk diterbitkan di mana-mana majalah dan akhbar.... Amaran. jangan tiru adegan ini !!!)

Secara ringkasnya berkenaan dengan Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam ini boleh diakses di dalam laman web ISDEV. Selain itu anda juga boleh membaca entry yang ditulis oleh Dr. Fadzila Azni Ahmad berkenaan program tersebut.

Semoga perkongsian ini memberi gambaran serba ringkas berkenaan dengan kursus yang ditawarkan di bawah Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam.
Semoga peroleh manfaat.

Wassalam.
Radieah Mohd Nor.

Monday, January 18, 2010

Menyusuli Langkah Ulama

Alhamdulillah, pada penghujung tahun lepas saya berkesempatan untuk mengikuti satu symposium di Universiti Malaya anjuran Akademi Pengajian Islam di sana. Simposium ini adalah berkenaan dengan tamadun Islam di Nusantara. Rata-rata pembentang kertas kerja tentang sumbangan ulama terhadap perkembangan Islam di Malaysia.

Tuan Tabal menjadi ulama yang diberi penekanan dalam symposium tersebut. Karya yang dihasilkan oleh ulama tersebut dikatakan hampir menyamai karya agong ulama terdahulu seperti Imam al-Ghazali, Ibn Khaldun, Ibn Katsir dan sebagainya.

Namun begitu, saya teringat akan kata-kata yang dikatakan oleh Prof Dr Yusuf al-Qardhawi yang dimuatkan di dalam kitabnya yang berjudul ‘al-Waktu fi Haya al-Muslim’ (Waktu di Dalam Kehidupan Muslim). Beliau menyatakan bahawa umat Islam kini seringkali berbangga dengan masa lalu. Berbangga dengan kegemilangan Islam yang berlaku. Berbangga dengan ulama-ulama terdahulu. Tetapi sayang, tidak ada perkara yang dapat kita banggakan untuk masa sekarang. Tidak ada perkara yang kita lakukan untuk dibanggakan. Kita tidak sedar yang kita dilalaikan dengan perasaan kita sendiri. Kebanggaan tersebut telah membuatkan kita terus ketinggalan di belakang berbanding penganut bukan Islam.

Secara kebetulan malam tadi di dalam ‘Halaqah’ telah membincangkan tajuk ‘Muhammad bin Idris’. Panel jemputannya ialah Ust Badlishah Alaudin dan Ust Zahazan Mohamed. Kedua-dua panel jemputan ini telah mengupas dengan cukup baik berkenaan dengan kehidupan Muhammad bin Idris atau lebih dikenali sebagai Imam as-Syafie.

Perkara yang saya ingin kongsikan di sini, seorang daie, seorang ulama, seorang murabbi harus mempunyai banyak kemahiran. Dakwah tidak seharusnya hanya bergerak melalui percakapan ataupun perbuatan. Tetapi jika kita teliti dari ulama zaman silam mereka turut menulis kitab-kitab yang tidak sahaja berguna untuk zaman tersebut sebaliknya ia telah melampaui sempadan generasi.


Selain itu seorang daie juga harus memiliki kemahiran berbahasa. Jika diteliti setiap daie harus menguasai perkara yang dikuasai massa. Nabi Musa a.s misalnya hidup pada zaman di mana sihir menjadi mainan masyarakat pada ketika itu. Oleh itu, Allah s.w.t mengurniakan mukjizat kepada Nabi Musa a.s untuk mengatasi sihir di zaman tersebut. Begitu juga dengan Nabi Muhammad s.a.w yang hidup di zaman masyarakat menganugerahkan syair-syair. Oleh itu, Allah s.w.t menganugerahkan al-Quran untuk mematahkan syair-syair dan juga panduan untuk kita apabila baginda tiada.

Bahasa memainkan peranan penting untuk berhubung. Bermain dengan bahasa sama ada sewaktu menulis, bercakap dan sebagainya adalah sangat penting. Bagi saya, umat Islam bukan bukan sahaja harus menguasai kemahiran berbahasa tetapi harus menguasai banyak perkara yang dikuasai oleh kuasa besar dunia. Kemahiran dalam perniagaan, menguasai ekonomi dunia, teknologi, perundangan, perubatan dan sebagainya. Tetapi malangnya umat Islam ketinggalan dalam semua bidang tersebut.

Ulama terdahulu telah berusaha untuk mengislamisasikan perkara yang cuba merosakkan aqidah umat Islam di zaman tersebut. Misalnya pada zaman Imam al-Ghazali, Ibn Taimiyyah, al-Kindi dan ramai lagi, mereka telah cuba mengislamisasikan bidang falsafah atau mantiq yang telah dipelopori olah Aristotle, Plato dan sebagainya. Pada zaman tersebut ilmu falsafah telah menguasai pemikiran umat Islam sehingga ayat al-quran turut ditafsirkan mengikut akal fikiran manusia terutama mengenail ayat mutasyabihat. Mereka telah berjaya mengislamisasikannya.

Bagaimana pula dengan sains dan teknologi kini yang telah menguasai dunia. Harapan saya kepada sesiapa yang telah berada di dalam bidang tersebut, jangan tinggalkannya hanya kerana kita tidak mampu menghubungkannya dengan Yang Maha Pencipta. Takut-takut nanti ia terus hanyut kerana kita tinggalkannya. Berusahalah kerana Allah tidak tanya hasilnya... yang Dia tanya usaha kita. Wallahu'alam...

Sama-samalah kita susuli langkah ulama terdahulu... berdakwah, menulis dan mengislamisasikan pelbagai bidang untuk kepentingan ummah. Ameen ya Rabbal a'lamin..

Wednesday, January 13, 2010

Antara Yang Tersurat dan Makrifat

Menganggap diri terlalu mulia daripada individu lain menyebabkan sukarnya untuk mendedahkan diri kita ditarbiyyah dalam apa jua bentuk keadaan. Tarbiyyah daripada Allah s.w.t datang dalam pelbagai bentuk sama ada dalam bentuk musibah, nikmat mahupun dugaan.

Tarbiyyah daripada Allah hadir dalam hidup kita setiap saat, waktu dan ketika tanpa mengira tempat mahupun keadaan. Tetapi malangnya kita selalu mengungkapkan kata-kata bahawa ‘saya tidak tahu kelak saya bagaimana… kerana saya masih belum diuji’.

Mungkin betul juga perkara yang dikatakan. Tetapi harus kita ingat seandainya kita tidak menyedari bahawa setiap saat kita sebenarnya sedang diuji kita akan mempersiakan setiap saat yang sedang kita lalui.

“…tuan mungkin mengetahui perkara yang tersurat tetapi tuan masih belum mengetahui perkara yang makrifat”… salah satu dialog di dalam drama bersiri ‘Nenek Kebaya’. Terpulang kepada anda bagaimana untuk mentafsir dialog tersebut. Tetapi saya suka mentafsir dialog tersebut dengan menghubungkannya dengan individu yang diamanahkan oleh Allah untuk mentarbiyyah manusia di sekelilingnya.

Sewaktu mentarbiyyah individu lain jarang sekali kita menyedari bahawa diri kita juga sedang ditarbiyyah. Akhirnya program-program pengisian yang kita anjurkan hanya sekadar berjaya melinangkan air mata peserta pada saat dan ketika itu sahaja… apabila tamat program segala nasihat dan pesanan kita kepada peserta tidak berjaya dibawanya dalam kehidupan mereka.

Dimana kesilapan kita? Silap dan salahnya kita apabila kita terlalu menganggap mereka terlalu rendah.. terlalu dhaif berbanding kita. Kita merasakan kita yang terbaik sehingga aktiviti yang kita rancang dalam program tersebut seoalah-oleh menidakkan hak mereka untuk memperoleh perkara yang lebih baik seharusnya mereka terima. Kita bayangkan tahap pemikiran mereka ditahap pemikiran, ketahanan fizikal, emosi, daya juang mereka lebih rendah berbanding kita…. segala-galanya lebih rendah berbanding kita…

Hakikatnya program tarbiyyah yang kita anjurkan itu sebenarnya bukan untuk mereka tetapi untuk kita… salah kita… silap kita… bukan salah mereka. Sebagaimana dialog drama tadi.. kita mungkin menggetahui perkara yang dirasakan tersurat tetapi sayang sekali kita dijauhkan olehNya untuk mengetahui perkara yang berbentuk makrifat…. Nauzubillah.

Maksud tersurat yang saya maksudkan ialah perkara yang kita rasakan harus dimiliki oleh olah muslim. Sama ada cara pakaiannya, percakapannya dan tingkah lakunya. Semuanya dalam bentuk fizikal yang dapat diukur dengan akal manusia. Tetapi makrifat pula bermaksud perkara yang berbentuk rohani.

Lebih dekat untuk saya maksudkannya sebagai aqidah Islamiyyah. Makrifat juga membawa maksud mengenal Allah… lebih kepada menyentuh perasaan atau hati manusia kerana hati merupakan tempat letaknya kepada iman. Sedangkan akal tempat letaknya ilmu yang seringkali dikuasai oleh nafsu bagi diri yang lemah.

Seharusnya yang perlu kita dahulukan adalah hati mereka… bukan akal mereka dan selalu-selalulah untuk sentiasa ditarbiyyah walaupun pada ketika itu kita sedang mentarbiyyah. Mereka yang ditarbiyyah selalu meletakkan diri mereka di bawah untuk sentiasa menerima tarbiyyah.

Sunday, January 3, 2010

"Jauh-jauh di dunia..."

“Kak Radieah makan sorang je ke?” Tanya seorang senior kepada saya.

“Ni malaikat kiri kanan ada kat sebelah.. syaitan tak tahulah banyak mana pula..” Gurau saya sambil mengisyaratakan tangan ke kanan dan ke kiri bahu saya.


“Iss.. Kak Radieah ni.. Boleh duduk sekali?”

“Awak berdua dah habis makan. Kak Radieah tak nak ganggu program awak berdua lepas ni. Kak Radieah tak kisah pun makan sorang”. Balas saya.

“Tak adalah. Tak buat apa pun lepas ni. Saja nak borak-borak dengan Kak Radieah”.


“Macam mana seronok dah habis master?” Tanya rakannya pula kepada saya.

“Master ke… ijazah ke… PhD ke… tak ada apa-apa makna pun bagi Kak Radieah.”


“Kenapa cakap macam tu pula?” Soalan tersebut diluahkannya.

“Ramai yang ada ijazah… ramai yang ada master… PhD pun sama tapi berapa ramai yang boleh beri ijazah… master atau PhD pada semua”. Berkerut muka kedua-dua senior saya tadi membuatkan saya cuba menerankan maksud ucapan tadi.


“Ilmu yang kita belajar… kita peroleh tidak berguna kalau kita tidak beramal. Amal itu satu perkara… perkara yang lain pula… berapa banyak ilmu yang kita boleh beri pada orang lain hasil daripada pembelajaran kita… dengan maksud yang lebih mudah… berapa ramai masyarakat di sekeliling kita yang mampu kita tarbiyyah. Tarbiyyah yang Kak Radieah maksudkan kat sinI maksudnya… ilmu yang tidak sahaja sekadar kita beri tetapi mampu memberi pemahaman kepada seseorang daripada ‘syaq’ atau ‘ragu-ragu’ terhadap sesuatu perkara…. kepada ‘yakin’ tentang sesuatu perkara…. daripada ‘tahu’ kepada ‘faham’… daripada ‘faham’ kepada ‘amal’… daripada ‘amal’ kepada ‘jihad’. Lebih kurang lah dengan Rukun Baiah* yang selalu kita kena marah bila tak hafal…”


“Yelah Kak Radieah.. nak ‘jihad’ ni pula perlu ada ‘pengorbanan’ kan Kak Radieah kan…”

“… Ye, lepas ‘jihad’ kan ‘pengorbanan’…” Saya mengingatkan kembali susunan Rukun Baiah yang telah lama saya tinggalkan.


“Payahlah Kak Radieah nak berkorban… terutama bila kita terikat dengan manusia. Macam saya terikat dengan mak ayah”. Luahnya.


“Tak baik cakap macam tu. Ujian tu kan Allah bagi sebab kita mampu pikul. Doalah banyak-banyak supaya Allah mudahkan setiap urusan kita”.

“Yelah… tapi bila selalu tak balik rumah… orang lain cuti… kita masih tak cuti. Sibuk dengan program sana, program sini… manalah mak ayah tak bising”.


“Macam Kak Radieah cakap tadi… berdoalah banyak-banyak supaya Allah mudahkan urusan kita. Masa tu hak Allah.. jadi Dia berkuasa untuk lapangkannya buat kita. Jangan jadikan sibuk sebagai alas an untuk tak balik rumah. Pandai-pandailah urus masa.. lagi satu cubalah bagi kefahaman pada mak dan ayah. Terangkan apa yang kita buat. Insya Allah mak ayah boleh terima… yang penting awak kena bijak untuk uruskan perkara ni dan jangan lupa berdoa... mudah je”.


“Mudah tu memang mudah… tapi nak buat tu yang payah”.

“Kak Radieh pegang pada satu perkara yang Kak Radieah selalu nasihat pada diri Kak Radieah sendiri…”


“Waa… apa dia Kak Radieah?”.

“Jauh-jauh di dunia… untuk kita rapat-rapat di syurga… jarang-jarang di dunia untuk kita selalu-selalu di syurga”.


“Hebat lah bahasa falsafah Kak Radieah ni”. Pujian yang tidak kena tempat.

“Isk dia ni… kita cakap lain dia cakap lain pula”. Balas saya.

“Kak Radieah tu yang serious sangat”

“Bercakap soal perjuang… memanglah kena serious. Kita ni sebenarnya selalu menuntut hak kita supaya dipenuhi. Sehingga orang yang kita sayang pun… 100% kita nak tuntut hak kita daripadanya. Kena belajar dari Lana Lang, waktu Lana Lang kata kat Clark Kent “I need you. But people need you more”. Dalam perjuang banyak perkara yang kita sayang terpaksa kita lepaskan… untuk rapat-rapat di syurga”

“Kak Radieah tengok Smallville?” Pelik mungkin bila saya kemukakan tentang percakapan actor tadi
“Isk dia ni. Smallville pula yang dia ‘code’… Kak Radieah bagi contoh untuk kita belajar… Kak Radieah bukan malaikat… bagi Kak Radieah nak tengok.. tengoklah. Tapi pandai-pandai tapis. Nanti balik rumah cuba-cubalah fahamkan mak ayah.. orang yang rapat dengan kita… yang sayang pada kita… dan yang penting juga jangan khianati mereka… Cubalah beri kefahaman.. sebab tak selamanya kita boleh sembunyikan. Nak beri kefahaman perlu kebijaksanaan diri sendiri… yang tu Kak Radieah tak boleh tolong”.

*Rukun Baiah - 1. Faham 2. Ikhlas 3. Amal 4. Jihad 5. Pengorbanan 6. Taat 7. Tetap Pendirian 8. Tajarud (Ikhlas terhadap fikrah) 9. Persaudaraan 10. Thiqah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...