Friday, February 26, 2010

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Maulidur Rasul disambut semperna hari keputraan Rasulullah s.a.w tetapi kita terlupa bahawa tarikh yang sama juga, merupakan tarikh kewafatan baginda. Terlalu lama Rasulullah s.a.w telah pergi meninggalkan kita. Selaku umat akhir zaman, jika kita tidak pernah bermimpi berjumpa dengan baginda sudah tentu kita tidak pernah menatap wajah baginda yang mulia.

Akhirat nanti, agak-agak boleh jumpa atau sebaliknya? Macam kisah Tsauban yang menangis teresak-esak bimbang tidak berjumpa lagi dengan Rasulullah s.a.w. Bacalah dahulu kisah Tsauban itu. Baru anda akan faham maksud saya. Saya tidak mahu menulis panjang pada kali ini.

Cuma saya teringat pesan seorang sahabat sewaktu di sekolah menengah yang pernah bermimpi perjumpa Rasulullah s.a.w. Sahabat saya ini pesan pada saya, Rasulullah s.a.w pinta kita semua sentiasa berselawat kepada baginda dan menyampaikan pesanan tersebut kepada semua.

Terdapat pelbagai bentuk lafaz selawat. Tidak kisahlah mana satu yang kita pilih tetapi selawatlah selalu kerana
Maksudnya;

Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.[Al-Ahzab: 56]


اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Thursday, February 25, 2010

"...Mereka 'Orang Hebat"

Ainun Mardhiah dan Suaminya, Mohd Asshik

Kehidupan ini cukup mencabar untuk manusia sekerdil saya merentasinya. Tambahan pula dalam situasi yang telah bergelar isteri. Tanggungjawab dan amanah yang dipikul semakin banyak.

Kak Shereeza ada pesan “Isteri ni kena banyak bersabar. Memang mudah untuk seorang isteri masuk syurga. Tetapi bila yang baik itu kita ingin dapat, dah tentu banyak cabaran…. Waspada dengan syaitan. Dia tak akan izinkan kita masuk syurga dengan mudah”.

Masa kami bersama tidak sebanyak mereka yang bergelar suami isteri yang lain. Ramai juga yang bertanya “Macam mana dok jauh-jauh. Sorang Penang. Sorang Ipoh?”. Penat juga saya menerangkan tentangnya. Pandai-pandailah…


Bagi saya kalau Nabi Ibrahim a.s dan Hajar boleh tinggal berjauhan untuk jalan dakwah, kenapa tidak kita. Mungkin juga ada yang mengatakan ‘mana ada orang yang macam Nabi Ibrahim a.s dan Hajar dah sekarang?’. Siapa kata tidak ada.. Sahabat saya sendiri duduk berjauhan dengan suaminya. Suaminya tinggal di Madinah. Dia pula tinggal di Mesir. Kedua-dua mereka masih belajar. Kedua-duanya ‘orang hebat’. Cukuplah saya katakan bahawa saya terlalu mencemburui mereka dan saya malu untuk berjumpa dengan mereka…



Mungkin juga ada yang bertanya, bagaimana saya boleh katakan mereka ini ‘orang hebat’? Saya kenal mereka. Ainun Mardhiah Ismail membesar bersama-sama saya. Kami belajar di sekolah rendah dan sekolah menengah yang sama. Begitu juga dengan suaminya, Mohd Asshik Abu Hanifah… yang belajar di sekolah menengah yang sama dengan saya. Anda semua boleh merujuk latar belakang pendidikan mereka berdasarkan link yang telah saya addkan pada nama mereka. (harap-harap mereka tak baca entry ini…)


Bagi saya usah peduli apa orang kata. Tapi perlu peduli apa yang Allah s.a.w kata. Biarlah jauh-jauh di dunia. Asalkan dapat dekat-dekat di syurga. Syurga itu tak jauh pun lagi… yang penting untuk ke sana perlu ada rahmatNya.

"...aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih sanggup. Dan petunjuk yang aku ikut hanya dari Allah. Hanya kepadaNya aku bertawakal dan hanya kepadaNya aku kembali." Maksud Surah Hud, ayat 88.

Wednesday, February 24, 2010

Kehidupan Seorang Pensyarah

Ini bukan meja pelajar master atau PhD,
jauh sekali meja pensyarah sebab agak kemas dan tidak banyak buku

Hampir jam 1.00 pagi sekarang. Tetapi amanah yang diberikan oleh Kak Sue (Dr. Fadzila Azni Ahmad) untuk menyemak empat disertasi bagi bab duanya sahaja (Sorotan Karya / Literature Review) amat memenatkan saya. 10 disertasi lagi bakal menyusul tiba di minggu-minggu berikutnya. Malangnya daripada empat disertasi tersebut, satu pun maih belum siap.

Sebenarnya saya dan dua orang rakan lagi ditugaskan untuk membantu MISDEV09 (pelajar master junior yang berdaftar pada tahun 2009) bagi menghasilkan bab dua disertasi yang mereka hasilkan dengan baik.

Banyak perkara yang harus saya perbaiki, bermula dari sekecil-kecil perkara seperti kesilapan ejaan sehinggalah ke sebesar-besar perkara seperti penghujahan yang tidak sampai maksud memeningkan kepala saya.

Dahulunya sewaktu saya di tempat mereka, kesilapan sebeginilah yang saya lakukan. Tetapi tabahnya supervisor saya (Prof. Muhammad Syukri Salleh) mendidik saya, membuatkan sedikit sebanyak mampu mengatasi masalah tersebut. Hari ini saya diminta pula untuk melakukan perkara yang sama yang pernah dilakukan oleh Prof kepada MISDEV09 (pelajar master junior yang berdaftar pada tahun 2009). Baru saya tahu payahnyaaaaaaaaaaaaa...
Pensyarah-pensyarah ISDEV sewaktu di Oxford University (ISDEV memiliki enam orang pensyarah. Seorang lagi Prof Madya Abdul Fatah, tiada dalam gambar)

Pernah suatu ketika, saya masuk seperti biasa ke bilik Prof untuk menunjukkan sebahagian disertasi yang telah saya siapkan. Seperti biasa juga pintu dibiarkan terbuka memandangkan saya dan Prof sahaja berdua di dalam bilik tersebut. Saya lihat Prof duduk di bawah. Di atas lantai berlapikkan carpet berwarna hijau tua. Prof meminta saya juga duduk di bawah menghadapnya. Tidak seperti biasa kami duduk di sofa. Perkara tersebut menimbulkan kehairanan di dalam diri saya.

"Minta maaflah kali ini kita duduk di bawah. Saya nak minta Ust Zul urutkan saya. Saya pening kepala. Sambil Ust Zul urut kepala saya, kita supervise sama-sama". Kata Prof.

Tidak lama kemudian Ust Zul masuk lalu seperti yang telah diberitahu oleh Prof, Ust Zul terus mengurut Prof. Sewaktu itu juga saya menyerahkan draft bab disertasi berikutnya kepada Prof dan Prof menyerahkan draft bab disertasi yang sebelumnya kepada saya. Draft tersebut telah disemaknya lalu menerangkan satu persatu kesilapan yang saya lakukan.

Kalau saya jadi Prof, saya dah ambil cuti. Tinggalkan terus tugas. Tapi itu kalau saya... berbeza dengan Prof...

Stop dulu bab tu...

Petang tadi selepas Usrah ISDEV, saya dan Kak Shereeza berbincang mengenai hal pengajian kami. Entah macam mana termasuk pula cerita berkenaan hal-hal guaman. Maklum sajalah Kak Shereeza dan suaminya merupakan peguam. Sekarang Kak Shereeza berhenti seketika dari kerja tersebut. Menurutnya kerja peguam mudah, just check dokument dan cari fakta. Tetapi masalahnya semuanya disandarkan kepada duit.

Menurutnya mentaliti masyarakat sekarang sesiapa yang gajinya banyak tetapi beban kerjanya sedikit, dia dikira manusia hebat. Macam itu jugalah dengan pensyarah. Ada yang kata kerja pensyarah mudah. Masuk kuliah, bagi kuliah, keluar. Itu sahaja. Tetapi hakikatnya Allah s.w.t sahaja yang tahu.

Ada pensyarah yang terpaksa menyelia seramai lapan orang...itu pun dah dikira banyak bagi saya. Tetapi menurut Kak Shereeza tadi, dia dapat pengakuan dari seorang pensyarah USM yang terpaksa menyelia seramai 20 orang pelajar. Menurut pensyarah tersebut dia sangat marah sekiranya waktu penyelian dilakukan, pelajar buat masalah sama ada datang lambat atau tidak dapat berjumpa dengannya last minute. Kerana masanya sangat terhad... yang tu baru dengan pelajar. Bagaimana pula dengan kerjanya sendiri, penyelidikannya... penulisannya.. hal pentadbiran dan lain-lain hal? Sudah tentu banyak dan memenatkan.

Menurut Prof Syukri, ada pensyarah yang di waktu siangnya diperuntukkan sepenuh masa kepada para pelajar. Bila malam hari, pensyarah tersebut tidur awal kerana letih, kemudian bangun semula jam 1 pagi untuk menyiapkan tugasannya sendiri pula. Begitulah setiap hari.

Dr. Hasanah (Klik gambar untuk paparan yang lebih jelas)

Itulah kehidupan seorang pensyarah. Jika dilihat kehidupan Dr. Hasanah pula, sewaktu anaknya masih kecil (kini anak bongsunya yang saya maksudkan berusia dua tahun) dengan ketiadaan suami disisi (kematian suami), saya pernah diceritakan oleh Dr. Zahari bahawa Dr. Hasanah memangku anaknya di riba sambil menghadap komputer melakukan tugasannya. Dapat bayangkan bagaimana payahnya. Saya pernah beberapa kali bertandang ke rumah Dr. Hasanah. Begitulah kehidupannya dengan anak-anak yang seramai lima orang yang sedang membesar dibantu oleh seorang pembantu rumah. Walaupun payah, tetapi saya lihat Dr. Hasanah sentiasa tenang melalui kehidupannya.

Tetapi saya tidak menafikan bahawa tidak semua pensyarah bertangungjawab seperti mereka. Memikul amanah sebagai seorang pensyarah hakikatnya amat berat. Saya yang hanya diberi sedikit tugasan untuk membantu MISDEV09 menyemak bab dua sahaja daripada keseluruhan disertasi mereka telah merasai bebanannya. Apatah lagi amanah yang dipikul oleh seorang pensyarah.

Semoga Allah rahmati kehidupan mereka.

Tuesday, February 23, 2010

".... Ulu tu apa?"

"Pak cik, pak cik buat apa tu?" Tanya anak jiran saya yang pada mulanya leka bermain dengan abang dan adiknya.
"Tengah buat ulu parang". Jawab ayah saya.

"Ulu parang, ulu tu apa?" tanyanya kehairanan. Adik dan abangnya tadi yalng leka bermain juga berhenti memerhatikan ayah.
Baru tadika, logiklah kalau perkataan 'ulu' tidak diketahuinya.

"Ulu parang tak tahu? Kalau kita pegang pisau kita pegang kat mana?" Tanya saya sambil menyidai kain.
"Pegang kat tempat yang warna hitam" Jawabnya.
"Ha, tulah nama dia ulu... yang warna hitam tu ulu. Tapi yang tu ulu pisau... yang ni ulu parang". Terang saya lagi.

"Oooo.. tapi tak macam ulu parang pun. Macam dinosaur..." Jawabnya.
" Tak lah macam kura-kura". Bantah abangnya.

Macam dinosaur.. kura-kura? Tanya saya sendirian. Lalu saya perhatikan tunggul kayu yang sedang ayah bentuk menjadi ulu parang... bolehlah. Dinosaur pun boleh... kura-kura pun boleh.
Dua beradik tadi terus mempertahankan apa yang dilihatnya tadi... seorang kata dinosaur, seorang kata kura-kura.

Belum siap lagi, memanglah tidak seperti ulu parang.
Itulah hobi ayah saya... yang saya pernah katakan bahawa ayah saya sangat kreatif orangnya dalam comment entry bertajuk "Mak Cik, ni ke Barli?"

Ramai yang menempah dan membeli parang dari ayah. Saya pujuk ayah supaya ayah hebahkan dalam internet. Tetapi ayah tidak mahu. Banyak sangat alasnnya. Antaranya takut orang salah guna. Nanti kena soal siasat payah katanya... "mana ayah ingat sape yang beli" tambahnya lagi.

Baru-baru ini ayah masuk surat khabar Berita Harian, 2 Februari 2010. Berkenaan 69 guru besar dan pengetua berbai'ah laksanakan tugas dengan baik.

Kata ayah, "Sebanyak 69 orang yang ada, ayah satu-satunya yang masuk surat khabar" Bertuahlah katakan... begitulah gurauan ayah. Saya tercari-cari dalam arkib Berita Harian dalam laman webnya untuk mengambil gambar tersebut dalam bentuk 'softcopy' tetapi tidak ada berita tersebut. Jadi entry ini tidak dapatlah saya tunjukkan gambar itu. Sorry..

Tetapi lain pula dengan Chik Lah...
"Chik Lah, ayah dah masuk surat khabar, awak bila pula?" Tanya saya.
"Umm.. tak nak lah. Nanti orang pijak-pijak je... tak nak lah masuk surat khabar". Jawabnya.
Pelik-pelik je jawapannya... emmm...

Saturday, February 6, 2010

Perutusan Naib Canselor USM 2010


Alhamdulillah, tahun ini seperti tahun-tahun yang lalu, saya masih diberi kesempatan untuk menghadiri majlis Perutusan Tahunan Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak. Entry kali ini saya ingin berkongsi sedikit sebanyak berkenaan perutusan tersebut yang saya dapat rangkulkan di dalam video klip di bawah yang juga ditayangkan sewaktu perutusan beliau.

video
Versi Bahasa Melayu

video
English version

Rumusannya, setiap perkara yang ingin dilakukan di Universiti Sains Malaysia selaku Universiti APEX nanti adalah untuk membela nasib masyarakat yang ditindas, masyarakat dunia ketiga, masyarakat yang lemah, miskin dan sering dihina.

Saya masih ingat Prof Tan Sri ada menyatakan "....biarlah universiti lain berlumba-lumba untuk naik ke Bulan tetapi kita akan tetap berada di Bumi. Membela nasib masyarakatnya. Apa guna kita naik ke Bulan sedangkan masyarakat di Bumi tidak minum dan tidak makan..." Lebih kurang begitulah antara ucapannya.

Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya setiap sesuatu itu ada anak kuncinya. Anak kunci syurga ialah menyayangi orang miskin dan orang fakir kerana kesabaran mereka. Merekalah yang duduk di hadapan hadrat Allah pada hari kiamat”.

Do you want to join us?

Tuesday, February 2, 2010

"Mak Cik, ni ke Bali?"

"Awak tu semua tak kenal. Nangka dengan cempedak kenal tak?" Tanya ayah saya kepada anak bongsunya.
"Tak" jawabnya sambil tersengih.
"Teruk betullah awak ni.." Sampuk saya.

"Alah Chik Lah tu lagi teruk. Dia tanya mak cik kat kedai tu, yang mana bali"
"Chik Lah tanya macam mana?" Tanya saya kehairanan.
"Dia tanya.. 'mak cik, ni bali ke?.. lepas tu mak cik tu cakap 'ye sayang'..." Ceritanya ringkas.
Suasana di dapur riuh rendah dengan gelak tawa dari kami.

"Chik Lah.. awak tanya mak cik tu mana satu bali?" Tanya saya
"Ala, biarlah orang* tanya. Nanti wan** marah pula, salah beli bali" Jawab Chik Lah mempertahankan diri.

"Chik Lah.. benda pelik-pelik je dia buat kat dapur. Ada pula orang suruh potong petola dia lukis gambar orang". Mak pula mula bercerita.
"Mana ada orang lukis gambar orang. Memang dah ada. Potong-potong je, tiba-tiba rasa macam muka orang. Orang ambik lah gambar".

"Ambik gambar, ada ke gambarnya?" tanya saya.
Lalu ditunjukkan gambar yang diambil melalui handsetnya.

"Ye lah... gambar muka orang". Saya mengiakannya.
"Orang cakap kat mak, mak tak percaya". Tambah Chik Lah lagi.
Tulah gadis zaman moden... yang tu belum tanya nama pisang dan nama ikan lagi... Tak pelah jadi muslimah sejati lagi baik.

Macam bila Rasulullah s.a.w bertanya pada puteri kesayangannya, Fatimah tentang ciri-ciri perempuan yang baik. Jawab Saidatina Fatimah "Perempuan yang baik adalah kurang melihat dan dilihat". Maksudnya perempuan itu kurang dilihat oleh lelaki dan lelaki pula kurang melihatnya. Kisah ini ada dicatatkan dalam Kitab Ihya' Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali.

Penat mencari maklumat berkenaan research, lalu entry ini ditulis... saja ingin bercerita. Kebetulan baru habis program Nisa' Pulau Pinang berkenaan 'Pencarian Gadis Melayu' (Artikel berkenaan dengannya masih belum diterbitkan di dalam blog Nisa' Pulau Pinang ).

*Adik saya yang sorang ni suka membahaskan dirinya dengan panggilan 'orang'
**'Wan' ialah panggilan 'nenek' bagi masyarakat Melayu di Pahang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...