Tuesday, December 20, 2011

Mukmin, Muslim, Fasiq atau Munafiq


Antara muslim dengan mukmin sudah tentu yang tingkat tertinggi kedudukannya adalah orang mukmin berbanding muslim. Mukmin bermaksud orang beriman tetapi muslim bermaksud orang Islam. Orang mukmin sudah tentu dia juga adalah orang Islam, sedangkan orang mukmin belum tentu orang beriman.

Ramai yang boleh mengaku dia merupakan orang Islam tetapi tidak ramai yang boleh membuktikan bahawa dia adalah manusia beriman. Ini berlaku kerana falsafah Islam itu terdiri daripada lima rukun. Secara mudahnya falsafah tersebut terkandung dalam Rukun Islam. Kelima-lima perkara tersebut boleh dilihat dan dibuktikan dengan perbuatan dan perkataan.

Tetapi kelima-lima perkara tersebut belum tentu boleh membuatkan seseorang itu dikatakan mukmin kerana falsafahnya lebih kepada kepercayaan individu terhadap perkara-perkara ghaib. Perkara-perkara ghaib ini adalah sebagaimana yang terkandung dalam Rukun Iman. Sebab itu cukup susah untuk kita selaku manusia biasa membezakan antara orang munafik, fasik dan soleh.

"Ust. Yasir, macam mana kalau kita nak kenal seseorang calon suami atau isteri itu alim-alim kucing atau fasiq atau munafiq* sebagaimana yang ust terang tadi?" Tanya saya kepada Ust Yassir selaku individu yang bertanggungjawab menjelaskan tentang bab munakahad semasa di kelas Pengajian setiap hari Selasa di ISDEV.


"Ini soalan yang serius. Memang kita perlu menyelidiki calon suami atau isteri sama ada untuk diri sendiri atau untuk anak-anak kita nanti. Berdasarkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa Allah s.w.t akan mengangkat kefasikan yang ada dalam diri seseorang apabila dia mendirikan solat subuh secara berjemah di masjid. Itu bagi lelaki kita boleh selidiki dengan cara begitu**. Tetapi bagi perempuan saya tidak tahu. Atau ada dalam kalangan kita yang boleh berkongsi pendapat atau pandangan…." Jawab Ust Yassir mengenai pertanyaan saya.

"Oooo begitu ke? Kak Shereeza, lepas ni kita kena didik anak kita untuk solat lima waktu di masjid macam Dr. Nailul" Kata saya pada Kak Shereeza.
"Ya, betul tu" Kak Shereeza menjawab dengan penuh azam.

Sebagaimana penernagan Ust Yassir untuk mengenali calon perempuan adalah susah tetapi bagi saya sebelum mengenali atau menilai calon nilailah diri kita sendiri dahulu sama ada fasiq, munafiq atau solehah.

Mungkin hadis mengenai membaca sekurang-kurangnya 50 ayat al-Quran ini boleh menjadi mendinding diri kita daripada menjadi fasiq atau munafiq.


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
Barangsiapa yang membaca 50 ayat dalam sehari semalam, maka ia tidak dicatat sebagai seorang yang lalai. Barangsiapa yang membaca 100 ayat, maka ia dicatat sebagai orang yang qaniith (taat). barangsiapa yang membaca 200 ayat maka ia tidak akan dibantah oleh al Qur-aan pada hari kiamat. Dan barang siapa yang membaca 500 ayat, maka dicatat baginya perbendaharaan harta berupa pahala
(Shahih li ghayrihi; HR. Ibnus Sunniy, lihat silsilah ash-shahiihah no. 642-643 sumber penomoran shahiih wa dhaiif al-adzkaar)

Akhirul kalam, berusahalah kita menjadi orang yang soleh atau solehah. Saya juga ingin petik kata-kata Imam al-Syafie tentang pandangannya dan kecintaannya terhadap orang yang soleh dan kebenciannya terhadap ahli maksiat.
"Sesungguhnya aku mencintai orang soleh, padahal aku bukan daripada kalangan mereka. Harapanku agar aku mendapat syafaat apabila bersama mereka nanti. Dan aku membenci mereka yang melakukan maksiat walaupun aku sendiri mungkin daripada golongan mereka." -Imam al-Syafi'i (Fiqh al-'Ibadat, jil.1, hlm.24)"

*Fasiq ialah mereka yang terang-terangan melakukan dosa-dosa besar atau dosa-dosa kecil secara berterusan.
Ulama membahagikan munafiq itu kepada dua. Pertama munafik perbuatan dan kedua munafik i'tiqad. Munafik perbuatan ialah apa yang disebutkan di dalam hadis tersebut. Hukumnya berdosa tetapi dia tidak kafir. Apa yang dikatakan di dalam hadis ini ialah orang-orang munafik mempunyai sifat demikian, tetapi tidaklah bermakna dia itu sendiri seorang munafik yang kafir apabila telah melakukan perbuatan tersebut. Ini termasuk bercakap bohong, melampau batas bila bergaduh, pecah amanah dll. Hadis ini juga memberikan maksud kepad akita betapa beratnya dosa berbohong, melampaui batas dalam bergaduh, pecah amanah dll sehingga ia seperti setaraf dengan orang munafik walaupun tidaklah bermakna dia kafir. Ini pengajaran hadis.
Munafik i'tiqad ialah orang yang mengatakan dirinya Islam tetapi di dalam hatinya dia tidak mengakui keimanannya terhadap i'tiqad Islam. Mereka ini dihukumkan kafir yang wajib diperangi.

** Rasulullah s.a.w. menyatakan sabdanya yang bermaksud:

"Seberat-berat sembahyang kepada orang munafik ialah solat Isyak dan Fajar (Subuh). Kalaulah mereka mengetahui kelebihan yang ada pada solat Isyak dan Fajar ini nescaya mereka akan datang (ke masjid) walaupun dengan merangkak. Sesungguhnya aku bercita-cita bahawa aku memerintah seseorang supaya memerintah manusia sembahyang dan menyuruhnya membawa orang mengerjakan solat kemudian aku pergi bersama beberapa orang lelaki membawa kayu-kayu api untuk pergi ke rumah-rumah orang yang tidak mengerjakan solat jemaah dan aku bakar rumah-rumah itu dengan api."


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...