Monday, May 30, 2011

Bila Ibu Jadi Hamba


“Radieah, apa maksud hadis akhir zaman ni, hamba lahirkan tuan?” Tanya seorang sahabat kepada saya.

“Bila hamba melahirkan tuan tu, ulama bahaskan ada dua maksud. Pertama, bila seorang bapa mengauli hamba perempuannya kemudian melahirkan anak. Anak tu adalah tuan kepada ibunya, hamba perempuan yang ayahnya gauli tadi. Sebab harta si ayah boleh diwarisi oleh si anak tadi. Kedua, bila lahirnya anak yang menderhakai ibu bapanya. Memperlakukan ibunya seumpama si ibu adalah hambanya. Itulah yang dikatakan hamba melahirkan tuan”.

“Kalau macam tu, zaman sekarang ni maksud hadis tu lebih dekat untuk disamakan dengan si ibu melahirkan anak derhakalah.”

“Ya, kalau kita lihat zaman sekarang secara zahirnya macam tulah. Tapi kalau kita luaskan sedikit maksud hadis tu dalam konteks yang lebih luas dan lebih tersirat, kita sendiri pun sebenarnya telah buat mak kita umpama kita adalah tuan.. dan mak kita adalah hamba”.

“Tak fahamlah. Cuba terus terang. Kan senang”.

“La.. mudah je. Si anak anak jadi bos bila setiap kemahuannya dituruti oleh si ibu. Kita minta apa je pada mak kita, permintaan tu akan dipenuhi. Pada waktu tu kitalah tuan. Mak kita pula hamba. Betulkan?”
“Emmmm…”

“Zaman sekarang ni, rata-rata kita tidak dapat nak tunaikan hasrat si ibu yang kesunyian. Yang rindu pada anak mereka. Tapi kita selaku anak jarang-jarang dapat penuhi hasrat mak kita. Sepatutnya, anak yang pergi pada rumah mak. Bukan mak yang pergi rumah anak. Semata-mata sebab dia rindu pada anaknya. Alasan yang kita selalu berikan, kita sibuk, tak ada masa. Tesis perlu cepat disiapkan. Kalau yang bekerja pula, tambah lagi alasan, tak dapat nak cuti.. kerja bertimbun nak kena siapkan. Kalau yang ada anak pula, minta mak yang tolong jagakan. Mak pula jadi pengasuh pada anak kita. Kalau balik rumah pula, mak akan tanya nak makan apa.. Mak akan masakkan sedap-sedap untuk kita. Sepatunya kitalah yang masak untuk mak. Macam pelayan restoran pula kita buat pada mak kita…”

“Tapi Radieah, memang perkara macam tu tak dapat nak elak. Zaman sekarang… lagi pun kalau mak tak kisah, mak dah faham, tak ada masalahkan?”.

“Ya, memang tak ada masalah kalau mak dah redha. Lagipun selaku seorang hamba, sudah tentu dia tak kisah mengikut arahan tuannya. Hambakan macam tu, ikut je apa yang tuan dia cakap tanpa ada bantahan. Mak kita ada bantah ke? ada persoalkan apa yang kita minta? Itulah yang dimaksudkan hadis tadi, ‘bila hamba melahirkan tuan…’. Tanpa kita sedar, kita lah tuan yang Rasulullah maksudkan.. . Walaupun hadis tu merupakan perkara yang pasti akan berlaku, janganlah kita jadi tuan kepada ibu sendiri. Agak-agak awak, zaman Rasulullah, parfa sahabat, tabiin, tabi tabiin, mereka buat tak pada mak mereka, macam kita buat kat mak kita. Atau mak mereka buat tak macam mak kita buat kat kita?”

“Dahlah Radieah, tukar topik lain. Tak sanggup saya dengar”.
“Laaa.. tadi dia yang tanya… Oklah. Ingat berusahalah untuk tidak jadi ‘tuan’”.

Janganlah jadi tuan pada emak sendiri. Emak bukan hamba, tetapi dia lah ratu hati kita. Jadi, perlakukanlah dia umpama ratu atau permaisuri kita.

Monday, May 16, 2011

al-Quran dan Nyanyian


Mukjizat Nabi Musa a.s yang mampu menukar tongkatnya menjadi ular dengan izin Allah s.w.t untuk mengalahkan sihir yang telah dilakukan oleh tukang sihir-tukang sihir Firaun amat bersesuaian kepada masyarakat pada zaman tersebut. Keadaan ini berlaku kerana sihir merupakan ‘mainan’ masyarakat pada zaman tersebut.

Nabi Muhammad s.a.w pula memiliki al-Quran yang telah dijamin oleh Allah s.w.t akan terpelihara sehingga ke hari Kiamat juga amat bersesuaian sekali kerana pada zaman tersebut penyair-penyair amat disanjungi. Sehingga apabila wahyu-wahyu Allah s.w.t diturunkan orang kafir Quraisy percaya ia bukanlah ciptaan manusia. Tetapi akibat sombong dan keegoan mereka mereka mengatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang tukang sihir.

Al-Quran yang merupakan muskjizat terbesar Rasulullah s.a.w ini sebenarnya bukan sahaja sebagai petunjuk tetapi juga sebagai hiburan penenang jiwa. Dapat kita perhatikan dunia pada hari ini amat mengagungkan para penyanyi kerana kelunakan suara mengalunkan bait-bait lirik lagu yang dicipta. Jika diqiaskan pada zaman Rasulullah s.a.w, penyanyi-penyanyi ini boleh disamakan dengan penyair-penyair. Tetapi yang membezakan wahyu Allah s.w.t dan lagu-lagu yang dinyayikan, wahyu tidak akan pernah ada rasa jemua apabila ia dibaca dan dilagukan (taranum). Tetapi lagu pula walaupun sesedap manapun telinga mendengar, lama kelemaan bosan juga apabila mendengar lagu yang sama.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan lagu juga memiliki kekuatan. Kekuatan untuk mengambarkan perasaan, keakraban, peniup semangat dan pelbagai lagi. Tetapi harus hati-hati, kerana lagu juga boleh membawa kita kepada dunia khayalan yang menjanjikan dosa bagi sesiapa sahaja yang terlibat dalam pembikinan lagu tersebut, bagi siapa yang memperdengarkannya dan mendengarnya secara sengaja.

Antara dua lagu? yang mana satukah yang membangkitkan semangat juangmu?

video
Lagu rasmi Parti Islam SeMalaysia

video
Lagu rasmi UMNO

Monday, May 9, 2011

Hari-hari Untuk Ibu

Ibu sewaktu menunaikan haji

“Happy morther day. Semoga ceria selalu dan dipermudahkan Allah dalam kehidupanmu. Semoga berbahagia bersama keluarga”.

Pagi-pagi lagi saya telah menerima sms berkenaan sambutan Hari Ibu. Tetapi yang peliknya sms tersebut adalah daripada ibu saya sendiri. Sepatutnya, sayalah yang perlu mengucapkannya terlebih dahulu. Apapun terima kasih.

Malam tadi sewaktu slot taaruf dalam usrah, perkara yang kami perlu ceritakan kali ini adalah berkenaan perkara yang telah kita lakukan membuatkan ibu kita menjadi gembira.

Rata-rata rakan usrah menceritakan tentang kejayaan dalam akademik masing-masing. Ya.. selaku seorang pelajar, menang itulah yang ibu inginkan. Tidak ada yang lain. Ada rakan usrah yang menangis, ada juga yang tersenyum puas dan tidak kurang juga ada yang kecewa.

Bila telah jadi ibu, baru saya tahu bagaimana perasaan resah seorang ibu terhadap anaknya bila anaknya sakit, bila anaknya berjauhan dengannya, bila anaknya sedang menangis dan macam-macam lagi. Baru juga saya tahu tentang perasaangembira seorang ibu, bila anaknya selamat lahir ke dunia, bila anaknya mampu tersenyum dan ketawa dan bila anaknya telah pandai belajar melihat dunia.

video

Saat saya telah memiliki anak, ibu saya tetap juga masih bimbang akan saya. Kalau dulu saya pelik mengapa setiap kali ibu telefon, sms atau bertemu, perkara yang pertama yang ditanya olehnya “Dah makan ke belum?” dan biasanya akan dibalas oleh saya “Mak selalu tanya soalan tu…” Hari ini saya tidak kisah lagi akan soalan tersebut kerana itu tanda ibu masih menganggap saya adalah anak kecilnya, yang pada suatu ketika dulu pernah ibu mandikan, pernah ibu pakaikan baju, pernah ibu sisir rapi rambutnya dan pernah ibu dukung ke hulu ke hilir… Saya percaya ibu masih belum puas untuk melakukan itu semua terhadap saya.

Bagi saya, setiap hari adalah Hari Ibu. Bukan semalam sahaja.

Friday, May 6, 2011

Small is Beautiful


Kecil itu lebih cantik jika dibandingkan yang lebih besar. Selalunya kita terlalu mengejar perkara-perkara yang besar-besar, yang hebat-hebat sehingga kita lupa yang kecil-kecil. Sedangkan perkara yang kecil-kecil itulah menjadi sandaran atau launching pad kepada perkara yang lebih besar.

Pasanglah cita-cita untuk menyelesaikan perkara yang tercapai dikudrat dan kemampuan kita terlebih dahulu walaupun cita-cita tersebut sekadar untuk menulis satu enty blog sahaja setiap minggu. Insya Allah, akan datang anda akan berjaya menghasilkan sebuah buku.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...