Wednesday, December 29, 2010

المراة الصالحة خير من الدنيا وما فيها

video

عن عبد الله بن عمرو أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال الدنيا متاع وخير متاع الدنيا المرأة الصالحة
Maksudnya;
Daripada Abdullah bin Amr sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda dunia ini penuh dengan kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan terbaik di dunia ini adalah wanita solehah.
Hadis riwayat Muslim.

Zaman yang cukup mencabar kini bukan suatu perkara yang mudah untuk kaum wanita menjadi solehah. Lahirnya laman-laman web, blog, facebook dan sebagainya lebih menyukarkan lagi untuk seorang wanita muslim itu menjadi wanita solehah.

Satu ketika dahulu saya pernah menulis secara ringkas berkenaan hal yang saya maksudkan ini. Walaupun ia hanyalah cerita tetapi ada perkara yang tersirat telah cuba disampaikan pada kesimpulan entry tersebut.

Kaum wanita menakluki sebanyak 2/3 daripada jumlah keseluruhan akaun Facebook seluruh dunia

Facebook, blog dan sebagainya merupakan satu medium yang terbaik untuk berdakwah. Namun, ia juga mampu menjadi medium yang paling jelek terutamanya kepada kaum wanita sekiranya ia digunakan untuk berseronok-seronok. Berseronok menggunakan medium tersebut adalah tidak salah. Tetapi seronok yang saya maksudkan di sini adalah menggunakan medium tersebut di luar batasan syariat.

Gambar-gambar yang dipertontonkan, untuk apa sebenarnya?
Komen atau status yang tidak berfaedah ditulis sedemikian rupa, kerana apa?
Video yang tidak mematangkan akal fikiran seorang muslim, kenapa?

Statistik pengguna facebook di seluruh dunia

Jika dilihat dari perspektif non-muslim yang cuba untuk memerangi Islam, terbukti bahawa mereka telah cemerlang menawan musuh di medan tempur. Orang muslim sendiri dengan rela hati ditawan oleh non-muslim. Kita jauh dari sifat dan ciri-ciri yang seharusnya dimiliki oleh orang muslim.

Buktinya, cuba anda tonton video-video dalam Youtube. Taip mana-mana nama sekolah agama yang ada di seluruh Malaysia. Anda pasti akan terkejut kerana banyak video yang di'upload' ke dalamnya adalah video yang mengambarkan kecelaruan identiti pelajar remaja yang mendapat pendidikan agama.

Saya tidak menyatakan bahawa ia adalah 100% benar sebagaimana paparan yang terdapat dalam youtube tersebut. Tetapi apabila perkara yang buruk atau mengaibkan yang dipaparkan, maka itulah kesan yang perlu kita terima. Sebab itu, perkara yang mengaibkan sama ada terjadi kepada individu di sekeliling kita atau diri kita sendiri tidak boleh sama sekali diceritakan kepada orang lain. Menutup aib itu adalah tanggungjawab dan amanah berat yang kita pikul. Ia juga merupakan rahmat Allah buat hamba-Nya kerana menutup keaiban kita. Tetapi bila kita membukanya, alangkah malangnya kita*.

Statistik pengguna facebook di Asia

Berkenaan dengan wanita solehah tadi, kecantikan yang dimiliki bukan untuk dipamerkan. Wanita bukan barang perhiasan, bukan juga barang dagangan. Jadi hati-hatilah dengan gambar yang diupload oleh kita, sama ada gambar kita sendiri ataupun wanita lain. Ia merupakan maruah seorang wanita. Cantik itu anugerah. Bila ada anugerah ia akan disusuli dengan amanah.

Mungkin ada juga yang bakal bertanya, 'takkan gambar pun tak boleh nak upload?' Ust Zul, salah seorang tenaga pengajar sewaktu pengajian hari Selasa di ISDEV pernah berkata lebih kerang begini apabila menceritakan tentang fitnah dari seorang wanita "Syahwat lelaki ini tidak boleh kita duga. Ada lelaki syahwatnya boleh terangsang hanya dengan melihat tudung yang dipakai sahaja". Berdasarkan keterangan Ust Zul tadi, ia baru kerana sehelai tudung. Bagaimana pula dengan gambar yang terang dan jelas mengambarkan wajah anda?

Pengguna facebook di Malaysia

Ada juga yang memberi alasan 'nanti orang tak kenal'. Antara manusia kenal dengan Allah kenal, biarlah Allah yang lebih kenal. Kenapa harus kita menjadi terkenal dalam kalangan manusia sedangkan Allah dan penduduk langit tidak mengenali diri kita.

Cukuplah sekadar itu dahulu. Prinsip saya mudah. Saya tidak mahu glamor di dunia kerana fitnahnya merata-rata. Tetapi saya mahu glamor di akhirat kerana Allah telah janjikan bahagia. Semoga Allah permudahkan jalan kita semua menuju redha-Nya kerana المراة الصالحة خير من الدنيا وما فيها (Wanita solehah adalah lebih baik dari dunia dan seisinya). Ameen.

* Hadis 1 :
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Sesiapa yang merungkaikan dari seorang mukmin satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia niscaya Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan niscaya Allah akan memudahkannya di dunia dan nanti di akhirat. Siapa yang menutup aib seorang muslim niscaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan kelak di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu menolong saudaranya….” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Hadis 2 :
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Wahai sekalian orang yang beriman dengan lisannya dan iman itu belum masuk ke dalam hati-hatinya. Janganlah kalian mengumpat kaum muslimin dan jangan mencari-cari keaiban-keaiban mereka. Kerana orang yang suka mencari-cari keaiban kaum muslimin, Allah akan mencari-cari keaibannya. Dan siapa yang dicari-cari keaibannya oleh Allah, nescaya Allah akan membongkarnya di dalam rumahnya (walaupun ia tersembunyi dari manusia).” (Riwayat ImamAhmad dan Abu Dawud )

Rujukan Gambar Rajah;
http://malaysiacrunch.blogspot.com/2009/05/has-facebook-beaten-friendster-in.html
http://techcrunch.com/2007/11/21/facebook-is-almost-23-women-and-other-stats/
http://blog.concentricsky.com/2009/04/facebook-passes-200m-users/

1 comments:

Perindu_Ilahi said...

tima kasih atas perkongsian.. ^^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...