Wednesday, December 29, 2010

المراة الصالحة خير من الدنيا وما فيها

video

عن عبد الله بن عمرو أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال الدنيا متاع وخير متاع الدنيا المرأة الصالحة
Maksudnya;
Daripada Abdullah bin Amr sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda dunia ini penuh dengan kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan terbaik di dunia ini adalah wanita solehah.
Hadis riwayat Muslim.

Zaman yang cukup mencabar kini bukan suatu perkara yang mudah untuk kaum wanita menjadi solehah. Lahirnya laman-laman web, blog, facebook dan sebagainya lebih menyukarkan lagi untuk seorang wanita muslim itu menjadi wanita solehah.

Satu ketika dahulu saya pernah menulis secara ringkas berkenaan hal yang saya maksudkan ini. Walaupun ia hanyalah cerita tetapi ada perkara yang tersirat telah cuba disampaikan pada kesimpulan entry tersebut.

Kaum wanita menakluki sebanyak 2/3 daripada jumlah keseluruhan akaun Facebook seluruh dunia

Facebook, blog dan sebagainya merupakan satu medium yang terbaik untuk berdakwah. Namun, ia juga mampu menjadi medium yang paling jelek terutamanya kepada kaum wanita sekiranya ia digunakan untuk berseronok-seronok. Berseronok menggunakan medium tersebut adalah tidak salah. Tetapi seronok yang saya maksudkan di sini adalah menggunakan medium tersebut di luar batasan syariat.

Gambar-gambar yang dipertontonkan, untuk apa sebenarnya?
Komen atau status yang tidak berfaedah ditulis sedemikian rupa, kerana apa?
Video yang tidak mematangkan akal fikiran seorang muslim, kenapa?

Statistik pengguna facebook di seluruh dunia

Jika dilihat dari perspektif non-muslim yang cuba untuk memerangi Islam, terbukti bahawa mereka telah cemerlang menawan musuh di medan tempur. Orang muslim sendiri dengan rela hati ditawan oleh non-muslim. Kita jauh dari sifat dan ciri-ciri yang seharusnya dimiliki oleh orang muslim.

Buktinya, cuba anda tonton video-video dalam Youtube. Taip mana-mana nama sekolah agama yang ada di seluruh Malaysia. Anda pasti akan terkejut kerana banyak video yang di'upload' ke dalamnya adalah video yang mengambarkan kecelaruan identiti pelajar remaja yang mendapat pendidikan agama.

Saya tidak menyatakan bahawa ia adalah 100% benar sebagaimana paparan yang terdapat dalam youtube tersebut. Tetapi apabila perkara yang buruk atau mengaibkan yang dipaparkan, maka itulah kesan yang perlu kita terima. Sebab itu, perkara yang mengaibkan sama ada terjadi kepada individu di sekeliling kita atau diri kita sendiri tidak boleh sama sekali diceritakan kepada orang lain. Menutup aib itu adalah tanggungjawab dan amanah berat yang kita pikul. Ia juga merupakan rahmat Allah buat hamba-Nya kerana menutup keaiban kita. Tetapi bila kita membukanya, alangkah malangnya kita*.

Statistik pengguna facebook di Asia

Berkenaan dengan wanita solehah tadi, kecantikan yang dimiliki bukan untuk dipamerkan. Wanita bukan barang perhiasan, bukan juga barang dagangan. Jadi hati-hatilah dengan gambar yang diupload oleh kita, sama ada gambar kita sendiri ataupun wanita lain. Ia merupakan maruah seorang wanita. Cantik itu anugerah. Bila ada anugerah ia akan disusuli dengan amanah.

Mungkin ada juga yang bakal bertanya, 'takkan gambar pun tak boleh nak upload?' Ust Zul, salah seorang tenaga pengajar sewaktu pengajian hari Selasa di ISDEV pernah berkata lebih kerang begini apabila menceritakan tentang fitnah dari seorang wanita "Syahwat lelaki ini tidak boleh kita duga. Ada lelaki syahwatnya boleh terangsang hanya dengan melihat tudung yang dipakai sahaja". Berdasarkan keterangan Ust Zul tadi, ia baru kerana sehelai tudung. Bagaimana pula dengan gambar yang terang dan jelas mengambarkan wajah anda?

Pengguna facebook di Malaysia

Ada juga yang memberi alasan 'nanti orang tak kenal'. Antara manusia kenal dengan Allah kenal, biarlah Allah yang lebih kenal. Kenapa harus kita menjadi terkenal dalam kalangan manusia sedangkan Allah dan penduduk langit tidak mengenali diri kita.

Cukuplah sekadar itu dahulu. Prinsip saya mudah. Saya tidak mahu glamor di dunia kerana fitnahnya merata-rata. Tetapi saya mahu glamor di akhirat kerana Allah telah janjikan bahagia. Semoga Allah permudahkan jalan kita semua menuju redha-Nya kerana المراة الصالحة خير من الدنيا وما فيها (Wanita solehah adalah lebih baik dari dunia dan seisinya). Ameen.

* Hadis 1 :
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Sesiapa yang merungkaikan dari seorang mukmin satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia niscaya Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan niscaya Allah akan memudahkannya di dunia dan nanti di akhirat. Siapa yang menutup aib seorang muslim niscaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan kelak di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu menolong saudaranya….” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Hadis 2 :
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Wahai sekalian orang yang beriman dengan lisannya dan iman itu belum masuk ke dalam hati-hatinya. Janganlah kalian mengumpat kaum muslimin dan jangan mencari-cari keaiban-keaiban mereka. Kerana orang yang suka mencari-cari keaiban kaum muslimin, Allah akan mencari-cari keaibannya. Dan siapa yang dicari-cari keaibannya oleh Allah, nescaya Allah akan membongkarnya di dalam rumahnya (walaupun ia tersembunyi dari manusia).” (Riwayat ImamAhmad dan Abu Dawud )

Rujukan Gambar Rajah;
http://malaysiacrunch.blogspot.com/2009/05/has-facebook-beaten-friendster-in.html
http://techcrunch.com/2007/11/21/facebook-is-almost-23-women-and-other-stats/
http://blog.concentricsky.com/2009/04/facebook-passes-200m-users/

Di Persimpangan 'Mahu' dan 'Tahu'


Setiap individu ada peralihan hidupnya sendiri atau lebih mudah ia selalunya dikaitkan dengan perkataan 'hijrah'. Berhijrah dari keburukan kepada kebaikan, dari jahil kepada alim, dari hina kepada mulia, dari huru-hara kepada aman dan sebagainya. Bagi saya ia merupakan proses unruk mematangkan diri.

Proses kematangan diri sebenarnya berlaku hampir setiap ketika dalam diri manusia. Proses ini juga boleh dikaitkan dengan mengenal Rabb Yang Maha Esa. Sabda Rasulullah s.a.w من عرف نفسه فقد عرف ربه "Sesiapa yang mengenai dirinya, maka dia akan mengenali Tuhannya". Walaupun bagi seorang ulama besar, mufti dan sebagainya. Mereka masih tergolong dalam golongan mengenal Rabb. Ia tidak akan pernah berhenti. Sehinggakan seorang ulama pernah menyatakan 'semakin aku belajar, semakin banyak yang aku tahu yang aku tidak tahu'. Belajar juga adalah proses untuk mengenal Rabb.

Antara 'mahu' dengan 'tahu', kedua-duanya perlu sebagai batu loncatan untuk maju kehadapan. 'Mahu' dan 'tahu' perlu digandingkan kerana antara keduanya 'amal' itu lebih utama. 'Mahu' hanya sebuah keinginan. 'Tahu' pula merupakan ilmu yang ada pada akal. Jadi keinginan yang ada untuk melakukan sesuatu perkara tidak akan bermanfaat walaupun seseorang itu memiliki ilmu tentangnya. Amal pula akan menjadi sekadar ikut-ikutan andai ilmu tidak berganding dengan amal.

Antara 'mahu', 'tahu', 'amal' dan 'ilmu' terdapat satu perkara yang lebih besar lagi iaitu takwa. Besarnya perkara tersebut sehingga sebahagian ulama telah menjelaskan bahawa seandainya ilmu tanpa takwa itu menjadi ukuran sebuah kemuliaan, sudah tentu makhluk yang paling mulia di sisi Allah s.w.t adalah Iblis.

Saiydina Umar al-Khattab juga pernah menjelaskan bahawa 'perkara yang sangat aku bimbangi berlaku pada umat ini adalah akan lahirnya seorang yang alim pada lisan tetapi jahil pada hati'. Banyak sekali orang yang sebegini. Alim pada lisan tetapi sayang sekali, jahil pada hatinya. Sifat yang suka bercakap atau sebenarnya lebih bertujuan untuk menonjolkan dirinya untuk menyatakan kepada orang ramai bahawa 'Aku tahu. Aku lebih alim dari kamu'.

Keadaan sebegini sebenarnya boleh dirasai oleh si pendengar kerana roh tidak ikut serta dalam pertuturannya. Roh ini sebenarnya penting kerana ia memberi jiwa yang akan jatuh dalam hati si pendengar. Niat dan keikhlasan dalam menyampaikan ilmu juga penting untuk menghadirkan roh tersebut. Oleh itu, berhati-hatilah. Jangan sesekali tertipu dengan mainan syaitan.

Tuesday, December 28, 2010

Syair Imam al-Syafie

Saudaraku, ilmu itu tidak akan dapat diperolehi melainkan dengan enam perkara Akan aku terangkan dengan penjelasan yang jelas kecerdikan, kesungguhan, ketekunan, kecekalan, bersama dengan guru dan masa yang panjang.
(terjemahan masih belum tepat).

Alhamdulillah, sehari suntuk saya berpeluang untuk mendengar syarahan atau perkongsian dari Dr. Afifi al-Hakiti. Berdasarkan sebuah syair Imam as-Syafie beliau menerangkan kepada hadirin berkenaan sikap atau sifat yang seharusnya kita miliki sebagai seorang penuntut ilmu. Syair yang saya maksudkan adalah bukan sebagaimana yang tertulis dalam gambar di atas. Namun ada sedikit persamaan. Menurut Dr. Afifi, ada pelbagai riwayat atau versi syair yang diungkapkan tersebut. Entry ini akan menjelaskan syair sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr. Afifi, tidak sebagaimana syair yang diungkapkan seperti dalam gambar tersebut.

Akal yang sejahtera (aqlu salim)
Menurut Dr. Afifi, akal merupakan kurniaan Allah s.w.t kepada manusia untuk mengenali-Nya. Oleh sebab itu, haram hukumnya untuk seseorang itu merosakkan akal yang dikurniakan kepadanya. Contohnya dengan mengambil syabu, dadah, arak dan sebagainya. Ia membuatkan akal menjadi tidak waras sedangkan akal itu sebenarnya adalah umpama satelit untuk mengenal Allah.

Semangat / Kesungguhan
Semangat atau kesungguhan untuk memperoleh ilmu ini perlu disertai dengan niat yang betul dan ikhlas dalam melakukannya. Sebagai penuntut ilmu, kita perlu ingat bahawa semakin banyak kita tahu, semakin besar tanggungjawab yang perlu kita pikul.

Miskin (Iftikarun = miskin dengan ilmu)
Sifat sebegini akan melahirkan jiwa yang sentiasa berkehendak kepada ilmu. Sebagai seorang penuntut, sifat mengikut resmi padi perlu ada dalam diri. Semakin berisi, semakin tunduk menyembah bumi. Sebagaimana para ulama selalu menjelaskan 'semakin aku tahu, semakin banyak aku tahu perkara yang tidak aku tahu'. Walau bagaimanapun, Prof Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas telah menjelaskan bahawa mengikut resmi pada tidak bermakna sebagai seorang yang berilmu kita tidak bercakap atau tidak ke hadapan kerana jika 'padi' tidak ke hadapan, 'lalang' akan ambil tempat 'padi'*.

Ghurbatun (negara asing)

Sebagai penuntut kita seharusnya tidak menjadi sebagaimana katak di bawah tempurung. Perlu keluar melihat negara orang. Merantau dan sebagainya. Memang benar. Berada di negara sendiri atau persekitaran sendiri akan membuatkan pemikiran kita menjadi sempat. Sebaliknya jika kita merantau melihat negara orang, kita akan belajar sesuatu yang baru tentang kehidupan dan secara tidak langsung ia memberi pengalaman baru kepada kita. Pengalaman juga adalah sebahagian daripada ilmu.

Taklimul Ustaz (Belajar dengan guru)

Sehebat manapun kita, kita perlu mencari guru untuk kita mempelajari sesuatu ilmu.

Tuluz Zaman (Masa yang panjang)
Masa yang panjang bermaksud kesihatan yang baik. Menurut Dr. Afifi, kesihatan perlu dipelihara dengan baik melalui pemakanan dan sebagainya.


*Niza kata dah lama 'lalang' ambil tempat 'padi'.
Memang betul pun kan? So janganlah biarkan 'lalang' terus menerus ambil tempat 'padi'.

Tuesday, December 21, 2010

Haram Halal


Perkara yang haram tetap haram. Perkara yang halal tetap halal. Walaupun dalam keadaan kita sedang memotivasikan manusia untuk berubah daripada buruk kepada baik.

Menurut Prof Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, halal dan haram seharusnya tidak hanya dinilai hanya melalui sudut zahirnya sahaja. Tetapi ia perlu dikaitkan dengan ubiduyyah kita kepada Allah s.w.t. Dengan perkataan yang lebih mudah halal dan haram bukan sekadar hukum atau undang-undang yang ditaklifkan ke atas kita tetapi juga ia merupakan ukuran keimanan yang ada dalam diri kita.

Wednesday, December 15, 2010

Hadis: Perkara Yang Perlu Kita Ingat


عن أبي أمامة قال: قال رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم: " أنا زعيمٌ ببيتٍ في ربض الجنة لمن ترك المراء وإن كان محقّاً، وببيتٍ في وسط الجنة، لمن ترك الكذب وإن كان مازحاً، وببيتٍ في أعلى الجنة لمن حسَّن خلقه


Daripada Abi Umamah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Saya menjadi penjamin terhadap rumah di pinggir syurga kepada orang meninggalkan perbalahan walaupun dia yang betul, terhadap rumah di tengah-tengah syurga bagi sesiapa yang meninggalkan berdusta walaupun dalam bergurau senda dan terhadap rumah di bahagian atas syurga bagi sesiapa yang memperelokkan pekertinya. (Abu Daud, no: 4800)

Daripada Abi Umamah al-Bahili t, ia berkata bahawa nabi r telah bersabda:”Aku adalah ketua rumah di sekeliling Syurga, bagi sesiapa yang meninggalkan perdebatan dan perbalahan sekalipun ia berhak, aku adalah ketua rumah di tengah-tengah Syurga bagi sesiapa yang meninggalkan percakapan dusta sekalipun bergurau dan aku adalah ketua rumah di atas Syurga bagi sesiapa yang baik akhlaknya”. (Riwayat Abu Daud dan sanadnya sahih)

Dua hadis hampir sama dan membawa maksud yang juga hampir sama. Tetapi malangnya kita yang seharusnya mengamalkannya selalu meninggalkan ketiga-tiga perkara tersebut.

Pertama, semasa kita berbalah atau berdebat kita selalu ingin menang. Alangkah baiknya sekiranya kita mengundurkan diri sahaja daripada medan perbalahan tersebut. Biarkan sahaja mereka merasa menang dan puas hati dengan perbalahan tersebut. Kerana disisi Allah, kita yang menang bukan dia.

Kedua, kita selalu menyatakan suatu perkara yang tidak benar, berdusta, berbohong ataupun menipu. Ketahuilah alangkah jeleknya kita yang suka mereka-reka cerita atas suatu perkara yang tidak benar walaupun ia sebenarnya bertujuan mungkin untuk menyeronokkan si pendengar mendengar cerita kita.

Ketiga, asahlah akhlak kita dengan sebaik-baiknya. Akhlak bukan sekadaryang dapat dilihat oleh manusia sekeliling kita tetapi akhlak kita terhadap diri kita sendiri kerana kebanyakan daripada begitu sukar sekali untuk berlaku jujur dengan diri sendiri.

Monday, December 13, 2010

Syukur Di Saat Derita

Walaupun syukur merupakan tanda terima kasih seorang hamba kepada Rabb-Nya atas pemberian anugerah mahupun nikmat tetapi adalah tidak salah sama sekali andai kata syukur juga dizahirkan oleh kita sama ada dalam perbuatan, perkataan mahupun hati kita.

Pelik, jangal dan sebagainya andai kata syukur itu disandarkan kepada derita, sensara atau perkataan yang seangkatan dengannya. Tetapi jika kita singkat sejarah a`bid (ahli ibadah), ahli sufi, para sahabat nabi, tabit atau tabit tabiin, mereka di saat derita mahupun di saat Allah kurniakan nikmat, mereka tetap merasa syukur dengan setiap yang Allah kurniakan ke atas mereka.

Oleh itu, bersyukurlah walaupun pada saat itu kita dirundung kesedihan. Percayalah setiap kurnian Allah sama ada derita mahupun nikmat ia adalah yang terbaik untuk kita. Walaupun pada pemikiran manusia biasa seperti kita derita itu adalah musibah yang sudah tentu bukan untuk disyukuri tetapi adalah untuk disesali dan diratapi.

Sebagaimana firman Allah s.w.t;

Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah".

Thursday, December 9, 2010

Muslim Study vs Islamic Study


Muslim Study boleh jadi merupakan seorang doktor, seorang peguam, seorang pensyarah, seorang arkitek atau masyarakat awam yang tidak belajar secara mendalam mengenai bidang-bidang yang terdapat dalam bidang pengajian Islam tulen. Tetapi mereka ini berusaha sungguh-sungguh untuk memahami perkara berkaitan pengajian Islam tulen tersebut kemudian menulis, mengkaji dan sebagainya dengan mengaitkannya dengan bidang yang menjadi kepakaran mereka yang sudah tentu kepakaran tersebut bukan daripada bidang pengajian Islam tulen.

Kelemahan yang amat ketara bagi majority Muslim Study adalah kelemahan berbahasa Arab. Keadaan ini membuatkan mereka terpaksa menggunakan kitab-kitab terjemahan untuk merujuk kitab-kitab yang ditulis oleh para ulama terdahulu.

Keadaan tersebut membuatkan ramai mereka yang berada dalam aliran pengajian Islam (Islamic Study) cukup tidak berpuas hati apabila rujukan yang digunakanoleh Muslim Study menggunakan kitab terjemahan. Mereka yang berada dalam bidang Islamic Study sentiasa menuntut mereka yang diluar bidang tersebut merujuk kepada kitab yang dikatakan muktabar atau rujukan asal kitab tersebut yang biasanya ditulis dalam Bahasa Arab apabila menulis perkara yang berkaitan dengan bidang pengajian Islam. Mereka berpendapat kitab terjemahan tidak mampu menyampaikan maksud sebenar penulis asal. Keadaan ini menurut mereka lagi membuatkan perkara yang diketengahkan oleh Muslim Study tidak sampai kepada maksud yang sebenar sebagaimana yang ditulis oleh penulis asal. Memang ada kebenarannya.

Kelemahan mereka yang berada dalam Islamic Study pula, mereka tidak mampu menghubungkan perkara-perkara yang bersifat semasa dengan perkara yang mereka pelajari. Keadaan ini berlaku kerana Islamic Study kebanyakannya dipelajari hanya berkisahkan ilmu fardu ain yang terdiri daripada feqah, aqidah dan tasawuf. Ilmu yang bersifat semasa yang lebih berbentuk fardu kifayah tidak dipelajari oleh mereka misalnya ilmu perubatan, perbankan, astronomi, bioteknologi dan lain-lain. Keadaan ini membuatkan hukum feqah misalnya tidak mampu berkembang seiring dengan tuntutan semasa. Keadaan sebegini akhirnya membuatkan perkembangan ilmu pengetahuan menjadi sempit dan kejumudan berlaku dalam pemikiran umat Islam kerana tidak berlakunya tajdid dalam ilmu pengetahuan.

Hakikatnya semua kita boleh menjadi Muslim Study tetapi tidak ramai daripada kita boleh menjadi Islamic Study. Apapun bagi saya tajdid perlu sentiasa berlaku. Jika tidak akan berlaku kejumudan dalam kehidupan masyarakat muslim pada ketika itu. Sama ada Muslim Study ataupun Islamic Study, janganlah jadikan kelemahan masing-masing lebih manjadi titik perbincangan berbanding memikirkan penyelesaian masalah umat pada hari ini.

Carilah titik pertemuan ataupun titik persamaan. Jangan dicari titik perbezaan kerana Rasulullah s.a.w pernah berpesan yang bermaksud “Sesungguhnya seorang muslim itu berada di atas kubu daripada kubu-kubu Islam, maka jangan sekali-kali dicerobohi dari tempatnya”. Jadi pertahankanlah Islam itu melalui kepakaran ataupun bidang masing-masing.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...