Tuesday, November 23, 2010

Disebalik Anugerah, Ada Amanah Bersamanya

Setiap anugerah atau nikmat yang Allah kurniakan kepada kita pasti akan ada amanah atau tanggungjawab yang perlu dipikul bersama. Anugerah atau nikmat akan hadir dengan pakejnya iaitu amanah atau tanggungjawab. Jadi hati-hatilah dengan setiap anugerah atau nikmat yang Allah kurniakan kepada kita.

Andai kita dianugerahkan dengan kebijaksanaan, ilmu yang dikatakan membuatkan kita bijak itu menjadi amanah untuk kita mengamalkannya. Andai kita pandai menulis, kepandaian menulis itu mungkin menjadi satu amanah besar untuk kita menyampaikan dakwah melalui penulisan. Andai kita dikurniakan suara yang sedap jangan sesekali disalahgunakannya. Begitu juga andai kita memiliki rupa paras yang cantik, ia bukanlah untuk diperagakan sehingga terpesong dari syariat yang Allah s.w.t telah tetapkan.


Bagi saya begitu juga dengan teknologi yang ada di sekeliling kita. Telefon bimbit, SMS, Yahoo Messenger, Facebook, blog, laman web dan sebagainya, semuanya anugerah dan nikmat buat kita. Tetapi hati-hatilah sewaktu menggunakannya. Bagi yang bijak, anugerah dan nikmat tersebut akan mendekatkan kita lagi kepada-Nya. Tetapi bagi yang menggunakannya hanya sekadar untuk berseronok-seronok, tanpa ada tujuan yang jelas sewaktu menggunakannya, kita sebenarnya terperangkan dengan nafsu kita sendiri dan akhirnya perkara tersebut akan membuatkan kita semakin jauh dengan-Nya. Sepatutnya dengan anugerah tersebut kita peroleh pahala, rahmat disisi-Nya.. tetapi sebaliknya pula yang kita peroleh... dosa dan kemurkaan-Nya.

Jadi hati-hatilah. Gunakan ia sebaik mungkin. Semoga kita dijauhi dengan segala tipu daya syaitan yang sedaya upaya cuba untuk menampakkan segala yang dimurkai Allah itu suatu keseronokkan buat diri kita. Bagi yang merasakan dirinya adalah daie' (pendakwah, hakikatnya kita semua adalah pendakwah), jangan sekali-kali kita tertipu dengan dakwah yang sedang kita lakukan. Kerana dibimbangi dakwah yang sedang kita lakukan itu disulami dengan maksiat kepada-Nya. Semoga Allah menjauhkan kita daripada perkara-perkara yang dimurkai-Nya. Ameen.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...