Monday, November 1, 2010

Natrah: Cinta, Rusuhan & Air Mata

Antara babak Natrah (yang dilakonkan oleh Maya Karin) dan Che Aminah Mohamad (yang dilakonkan oleh Umi Aida) dalam pementasan teater Natrah sebelum ini.

Suatu ketika dahulu saya pernah menulis tentang hal yang sama mengenai Natrah. Teaternya juga bakal dipentaskan untuk kali kedua oleh pengarahnya yang sama iaitu Erma Fatimah yang sebelum ini turut mengarahkan teater yang sama. Khabarnya untuk pementasan teater untuk kali kedua ini, persembahan dan jalan ceritanya cuba diperbaiki daripada pementasan sebelumnya.

Bila mendengar sahaja berita semalam berkenaan teater tersebut yang bakal dipentaskan untuk kali kedua, saya cukup teruja untuk menontonnya. Menurut seorang senior yang berpeluang menonton pementasan tersebut pada pementasan yang lalu, teater yang dipentaskan sungguh mengharukan.

Tetapi hari ini Allah memakbulkan permintaan saya. Saya tidak lagi teruja untuk menonton teater tersebut selepas menemui satu buku yang bertajuk Natrah (1937 - 2009) Cinta, Rusuhan & Air Mata, saya tidak lagi teruja untuk menonton teater tersebut. Ada banyak sebab antaranya adalah disebabkan kritikan Datin Seri Fatini Yaacob yang merupakan penulis buku yang saya maksudkan. Walaupun menurut Erma Fatimah gaya penulisan tidak boleh sama sekali disamakan dengan gaya pementasan, tetapi saya tidak bersetuju dengan pernyataan tersebut. Bagi saya ia adalah sejarah besar dunia, sejarah besar Bangsa Melayu dan sejarah besar sebuah perjuangan. Mana mungkin ia boleh diketengahkan hanya mengikut gaya tanpa fakta dan sejarah yang benar. Seharusnya gaya tersebut perlu berlandaskan fakta dan sejarah.

Baru sebentar tadi buku ini berada dalam gengaman saya

Ucapan tahniah saya buat Datin Seri Fatini Yaacob (penulis) kerana beliau telah melakukan kajian menemui hampir kesemua individu yang terlibat dalam kehidupan Natrah. Berdasarkan buku tersebut yang baru bahagian pengenalannya saya sempat baca, beliau telah mengembara ke seluruh pelusuk dunia seperti Singapura, Amerika Syarikat dan England untuk menemui individu penting seperti Dr. Tom Eames Hughes di Bangor Wales, Barat England. Beliau merupakan Pegawai Inggeris yang menjadi Pegawai Kebajikan Masyarakat Singapura pada ketika itu. Dr. Tom pada ketika itu bertangungjawab menjaga Natrah sewaktu ditempatkan sementara di Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura.

Penulis juga telah mewawancara Allahyarham Tan Sri Prof. Emeritus Ahmad Ibrahim yang merupakan Peguam Negara Singapura bukan Inggeris yang pertama dan bertangungjawab mengasaskan Mahkamah Syariah di Singapura pada tahun 1966 dan juga Majlis Ugama Islam Singapura. Allahyarham merupakan saksi penting kisah hidup Natrah yang menyaksikan undang-undang sivil Inggeris mengatasi undang-undang Islam dalam kes tersebut kerana beliau adalah peguam bela Natrah pada ketika itu.

Penulis juga amat bertuah kerana beliau berkesempatan menemui Mansor Adabi, suami kepada Natrah ketika tragedi tersebut tercetus yang meninggal sehari selepas beliau menumuramahnya iaitu pada 14 Oktober 1988. (Al-Fatihah buatnya...) Beliau juga berkesempatan menemuramah individu di sebalik nama besar tersebut iaitu Natrah sendiri. Menyatakan tentang perasaannya yang jarang-jarang sekali diketengahkan oleh banyak penulisan.

Menurut penulis lagi pada mulanya beliau tidak berminat untuk menjalankan kajian mengenai Natrah kerana menurut beliau, kisah tersebut telah lapuk, kisah lama yang tidak mungkin dikenang orang. Namun disebabkan tugasnya sebagai wartawan Majalah Dewan dan untuk memenuhi permintaan ketuanya, beliau menjalankan juga kajian tersebut.

Ternyata pandangn negatifnya terhadap Natrah sama sekali berubah setelah membuka lembaran akhbar Utusan Melayu bertulisan jawi dan The Straits Times keluaran bulan Disember 1950 di Arkib Negara Malaysia. Menurut beliau gambar Natrah dan mereka yang berkaitan termasuk tragedi rusuhan terpampang pada halaman utama akhbar pada setiap hari selama sebulan. Jauh sekali bezanya zaman kita dengan mereka. Isu akidah umat Islam bukanlah persoalan yang boleh dipermain-mainkan di zaman tersebut. Pada zaman ini isu murtad, ajaran sesat dan sebagainya bukan lagi isu utama.

Apapun bagi saya, buku tersebuat merupakan antara buku wajib yang perlu dimiliki oleh setiap daripada kita. Menurut penulis

"...sejarah cinta, rusuhan dan air mata Natrah ini adalah milik bangsa Melayu dan orang Islam rantau ini. Saya hanyalah seorang kerdil yang cuba membawa sejarah hebat ini kepada bangsa Melayu dan Islam rantau ini.

... Kalau dahulu, semasa zaman Natrah, beliau menangis-nangsi dalam pelukan pemberita Utusan Melayu, Puan Rosewita Buang, minta beliau dikeluarkan dari gereja kerana tidak mahu dipaksa memeluk agama Kristian. Namun kini selepas 59 tahun berlalu, perkara sebaliknya berlaku. Setelah negara merdeka, Hartini Kamaruddin (1988), Aishah Bukhari (1997) dan Lina Joy (2000) menangis-nangis untuk mausk ke gereja".

Semoga ia memberi manfaat.



Judul: Natrah (1937 – 2009): Cinta, Rusuhan, Air Mata

Penulis: Datin Seri Fatini Yaacob
ISBN: 978-983-52-0729-7 (kulit lembut)
Penerbit: Universiti Teknologi Malaysia Press, 2010
Ketebalan dan harga: 474 muka surat dan RM75.00


Ulasan blogger lain mengenai buku tersebut:
http://pasalbuku.blogspot.com/search?q=natrah
http://zabidiskrip.blogspot.com/search?q=natrah&x=0&y=0

2 comments:

wan-niza said...

Saya ada buku ni. Beli masa pesta buku april lepas. Tapi lepas beli terus masukkan dalam rak, dan sampai hari, masih belum pernah disentuh :)

Radieah Mohd Nor said...

Kak Radieah dah habis baca malam tadi Alhamdulillah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...